KUCHING: Dua maut dalam satu letupan di sebuah loji kimia di Taman Perindustrian Samalaju pada Isnin.

Menurut sumber, mangsa yang maut merupakan pekerja tempatan berusia 34 dan 35 tahun manakala dua lagi yang cedera berusia 26 dan 33 tahun.

Keempat-empat mangsa dikatakan sedang bekerja di dalam satu ruang di loji berkenaan sebelum satu daripada mesin tersebut meletup sekitar jam 3 petang semalam.

Kedua-dua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Bintulu manakala dua mangsa yang maut telah ditempatkan di Unit Forensik hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Batholomew Umpit mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar jam 9.10 malam.

Pihaknya bagaimanapun masih melakukan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pun begitu, sehingga petang Selasa, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes ini.