SHAH ALAM: Dua lelaki maut manakala lima yang lain termasuk seorang bayi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Persiaran Sultan Ibrahim, Bandar Baru Klang, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan kereta Perodua Bezza, Honda City dan Toyota Camry itu pada 6.23 pagi.

Beliau berkata lima pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

"Dua lelaki berkenaan yang tercampak ke dalam longkang disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan.

Mangsa yang cedera, katanya terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan, seorang bayi serta dua lelaki dan mereka dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA