MELAKA TENGAH: Polis menemukan mayat dua lelaki yang dipercayai dibunuh dan dibuang ke dalam semak di kawasan Kampung Ujong Padang, Cheng, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi, mayat kedua-dua lelaki itu ditemui dalam dua bungkusan kanvas yang berikat oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, identiti kedua-dua mangsa itu bagaimanapun belum dapat dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.

“Pihak polis telah dimaklumkan oleh orang awam bahawa dia menjumpai dua bungkusan kanvas yang berikat di dalamnya ada tubuh manusia.

“Siasatan awal mendapati tubuh pertama dijumpai berada dalam kanvas yang telah diikat dengan ‘cable tie’ dan tali yang mana tubuh itu lengkap berpakaian berbaju T hitam dan berseluar jeans pendek.

“Manakala tubuh kedua dijumpai dalam kanvas bersebelahan tubuh pertama dan pemeriksaan lanjut tubuh ini tidak berpakaian dan hanya berseluar jeans pendek,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut menjumpai timbunan sampah di sekeliling lokasi buangan mayat kedua-dua mangsa yang mempunyai kesan lukisan cacahan (tattoo) di tubuh mereka.

Katanya, pihak polis juga masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti sebenar dua mangsa terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Muhather Abd Kudus di talian 0132884878,” tambahnya.