Skip to main content

Malaysia

Dua pelajar MRSM Alor Gajah yang dilaporkan hilang ditemukan selamat di Kuala Lumpur

Sumber: Sinar Harian
Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos ditemukan di Central Market, Kuala Lumpur, kira-kira 10.30 malam tadi. - Foto Asyraf Wajdi
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua pelajar perempuan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu ditemukan selamat di Central Market, di sini, malam tadi.

Perkara itu disahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di media sosial tengah malam tadi.

Terdahulu, Pengetua MRSM Alor Gajah Azaam Yacob memaklumkan melalui satu kemas kini, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, kedua-duanya berusia 16 tahun, ditemukan kira-kira 10.30 malam oleh pihak polis yang sedang menjalankan rondaan.

Menurutnya, operasi pencarian melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), wakil ibu bapa melalui Muafakat MRSM Alor Gajah serta Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA.

“Ketika ditemukan, anggota polis sedang meneruskan rondaan di kawasan yang dikenal pasti dan dijangka menjadi lokasi keberadaan pelajar berkenaan di sekitar Central Market, Kuala Lumpur,” katanya.

 

Beliau berkata wakil ibu bapa yang turut berada di lokasi membantu memberi sokongan awal serta menenangkan kedua-dua pelajar sebaik mereka ditemukan.

Ketika ini, pelajar terbabit berada di bawah pengawasan pihak polis bagi membolehkan proses rakaman keterangan dan siasatan lanjut dijalankan.

Semalam, media melaporkan kehilangan kedua-dua pelajar Tingkatan Empat itu sejak 10.46 malam 11 Ogos, selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang guru sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, dilaporkan mengesahkan penerimaan laporan kehilangan tersebut dan siasatan segera telah digerakkan bagi mengesan kedua-dua pelajar berkenaan.

Pihak berkuasa bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan situasi yang membawa kepada kehilangan mereka.

 

 

Must Watch Video

Advertisement