TANGKAK: Dua pelajar lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer (KM) 39.9 Jalan Muar-Tangkak-Segamat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu, mangsa berusia 24 dan 25 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati Myvi berkenaan dari arah Tangkak menuju ke Segamat, dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu kereta itu dipercayai mengantuk sebelum masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan sebuah treler tidak sempat mengelak dan terlanggar kereta itu.

“Akibat dari kemalangan itu, pemandu serta penumpang disahkan maut di lokasi kejadian  kerana kecederaan parah di bahagian muka dan kepala manakala pemandu berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, mayat kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim dan Universiti Malaysia Terengganu itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Tangkak.

“Saksi kejadian itu diharap dapat menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.