GOMBAK: Dua remaja cedera apabila motosikal yang dinaiki berlanggar dengan sebuah unit kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Persimpangan Lembah Hijau, Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian pada jam 10.10 malam itu, kereta peronda tersebut dari arah Bandar Tasik Puteri menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar).

"Setibanya di persimpangan lampu isyarat Persiaran 3, Lembah Hijau, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja masing-masing berumur 14 tahun itu telah melanggar bahagian kiri kereta peronda polis tersebut.

"Pelanggaran mengakibatkan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa terbabas sebelum kedua-duanya terjatuh," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Dua anggota polis yang berada dalam kereta peronda tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ujar Zainal Mohamed, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta segera tampil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Norazlan Noorudin di talian 0197974466 atau IPD Gombak di talian 03-61262222," katanya. - Sinar Harian