JERTIH: Dua wanita ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan kolam ternakan ikan di Pantai Air Tawar di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata pihaknya menerima laporan pada 1.40 petang tadi mengenai mangsa berusia 49 dan 27 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kolam berkenaan.
"Pegawai perubatan yang hadir di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini, sambil memaklumkan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Besut untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, beliau berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, suami seorang daripada mangsa, Wan Muhammad Naim Wan Hussin, 28, tidak menyangka hasratnya untuk menjemput isterinya Rubayyi Razali, 27, pulang berehat pada 1 tengah hari tadi bertukar tragedi apabila menemukan Rubayyi dan pemilik kolam berkenaan Wan Adilah Wan Awang, 49, dalam keadaan terbaring.
Wan Muhammad Naim berkata Rubayyi ialah pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Biodiversiti Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Jengka, Pahang, dan sedang menjalani latihan amali di kolam berkenaan sejak 10 Ogos lepas dan dijangka tamat 2 Okt depan.
“Apabila saya melihat isteri dan pemilik kolam tersebut tidak sedarkan diri, saya terus meminta bantuan penternak lain yang berada berhampiran.
“Saya rasa mungkin kedua-dua mereka terkena renjatan elektrik kerana terdapat wayar elektrik berhampiran kawasan tersebut, selain air paip yang sedang mengalir,” katanya sambil memaklumkan Rubayyi meninggalkan dua cahaya mata lelaki masing-masing berusia dua tahun dan empat bulan.
-- BERNAMA