KULIM: Dua wanita maut setelah motosikal yang mereka tunggangi terlibat dalam kemalangan di Jalan Paya Besar, dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian jam 4.57 petang itu berlaku apabila motosikal jenis Honda Beat Ach yang ditunggang Nor Syamimi Amira Mohd Suhaimi, 20, baru keluar dari simpang di Taman Sederi menghala ke Kulim.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah Kulim menghala ke Padang Serai tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal yang ditunggangi Nor Syamimi.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan maut di tempat kejadian.

“Penunggang Yamaha dikenal pasti sebagai Nur Aleesya Md Anuar, 20, mengalami kecederaan parah di kepala turut maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sazalee berkata, mayat kedua-dua penunggang yang maut itu di hantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.