POKOK SENA: Dua wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Kolon, di sini pada pagi Ahad.

Mangsa, Romadiah Ismail, 65, dan Nadzifah Abu Seman, 28 meninggal dunia selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah lori tanah.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, kemalangan pada jam 9.55 pagi itu juga mengakibatkan dua lagi kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Axia dan sebuah Toyota Hilux.

Menurutnya, tiga pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Nerang tiba di lokasi untuk memberi bantuan.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan melalui MERS 999 memaklumkan terdapat mangsa tersepit dalam kemalangan itu.

"Setibanya di lokasi didapati terdapat empat buah kenderaan iaitu sebuah lori tanah 10 tan, sebuah kereta Perodua Bezza, sebuah Perodua Axia dan Toyota Hilux.

"Pihak Bomba dimaklumkan terdapat tiga mangsa tersepit dalam dua kenderaan dan kesemua mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ahmad Aminudin berkata, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Menurutnya, mangsa yang cedera pula dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan.

"Tindakan seterusnya yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan melakukan kerja pembersihan jalan bagi memastikan keadaan selamat dan operasi tamat pada jam 12.07 tengah hari," ujar beliau lagi. -Sinar Harian