KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah dadah bernilai RM452,000 dalam dua serbuan di sekitar ibu negara, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata lelaki berusia 38 tahun yang juga duda anak tiga itu ditahan menerusi Op Baccharis yang bermula 5 petang hingga 9 malam.

"Lelaki itu ditahan ketika berada di dalam kereta jenis Nissan Cefiro miliknya di tepi jalan di Jalan Klang Lama, di sini dan polis kemudian merampas lima kilogram syabu bernilai RM233,000 daripadanya.

"Lelaki itu yang berada di bawah pengaruh dadah cuba melarikan diri dan bertindak agresif. Empat kereta milik orang awam telah rosak dengan sebuah daripadanya rosak teruk namun tiada kecederaan jiwa berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan, polis menyerbu kondominium mewah berpengawal yang dihuni lelaki itu di Taman Desa, di sini sekali gus merampas 14,600 biji pil Erimin 5 bernilai RM219,000.

Azmi berkata lelaki itu yang aktif mengedar dadah sejak dua bulan lepas didapati mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah selain dipercayai menjadikan kondominium berkenaan sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Lelaki itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari ibu negara dan menjadikan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama. Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 25,000 penagih," katanya.

Beliau berkata lelaki itu yang positif dadah jenis Methamphetamine direman hingga 21 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala siasatan lanjut sedang dibuat untuk mengesan ahli sindiket yang terlibat.

-- BERNAMA