SHAH ALAM: Seorang anak kecewa apabila mendakwa ibunya menjadi mangsa penipuan apabila membeli seluar 'kesihatan' yang berharga RM800 daripada rakannya.

Selain mudah terpedaya dengan ajakan rakan, warga emas juga sering kali menjadi sasaran sindiket penipuan penjualan yang menggunakan teknik pemasaran pelbagai aras (MLM) mahupun pelaburan atas angin.

Menurutnya, ibunya membeli seluar berkenaan menerusi pemasaran pelbagai aras (MLM) selepas dimaklumkan mengenai manfaatnya.

Perkara itu dikongsikan, Musytaq Ashari menerusi hantaran di X sehingga ia tular baru-baru ini.

"Rasa nak marah bila dengar mak beli seluar 'kesihatan' berharga RM800 sehelai. Kawan dia promosikan suruh beli dan sertai kumpulan kemudian kena cari tiga orang lagi untuk masuk.

"Setahu saya, ini MLM dan maklumkan yang ia tak munasabah. Saya macam bingung kejap apabila diberitahu seluar untuk kesihatan. Benang seluar ini diperbuat daripada panadol ke?

"Hasil duit mak ini meniaga laksa tepi jalan, bukan senang nak dapat RM800 dan bagi saya teramat mahal untuk sehelai seluar yang saya tengok macam seluar 'tight' sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, Musytaq berkata, walaupun sudah dimaklumkan bahawa ia adalah sistem MLM, namun ibunya tetap bertegas tentang manfaat produk berkenaan.

Ibu cuma balas, kita boleh cari duit poket dengan ini.

"Orang-orang tua mereka boleh la mahu tipu," ujarnya.

Sehingga kini, hantaran tersebut mencecah 479,000 tontonan dan mendapat 2,653 tanda suka. - Sinar Harian