PETALING JAYA: Abang penyanyi nasyid dan komposer memaklumkan, Muhammad Yasin Sulaiman kelihatan semakin berisi selepas menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak selama dua bulan.

Zain Sulaiman, 51, berkata, tahap kesihatan adiknya bertambah baik berbanding dua bulan lalu.

"Dulu, berat badan dia hanya 48 kilogram, sampai nampak tulang tapi sekarang dia semakin baik, bertambah berat malah kami sekeluarga tengok kesihatannya semakin pulih.

“Alhamdulillah, setelah dirujuk ke hospital itu dan dibekalkan beberapa jenis ubat, dia kelihatan memberangsangkan, itu yang penting untuk keluarga,” katanya selepas prosiding kes dadah yang dihadapi Yasin di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis.

Dalam prosiding 8 Mei lalu, Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad memerintah penyanyi yang popular dengan lagu 'Mimpi Laila' itu dihantar ke Hospital Bahagia selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin, 48, bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi ini dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian