GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang harus mengadakan mesyuarat khas seawal mungkin selepas September untuk meminda dan menyelaraskan Perlembagaan Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan, selepas perkenan diraja dan pewartaan pindaan perlembagaan yang melarang ahli parlimen melompat parti.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata ini akan membolehkan peruntukan antilompat parti berkuat kuasa tepat pada masanya bagi kerusi DUN di Pulau Pinang apabila pilihan raya umum diadakan.

Lim yang juga ADUN Air Putih berkata ini akan membolehkan DUN meminda perlembagaan negeri dengan memasukkan peruntukan melarang pemimpin yang dipilih bertukar parti, selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan seperti yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Undang-undang antilompat sebegini yang dilaksanakan untuk kedua-dua kerusi Parlimen Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri akan menambah keyakinan pengundi yang lebih tinggi keluar mengundi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata DAP bersetuju dengan Wan Junaidi bahawa semua negeri perlu mengikut format Perlembagaan Persekutuan dengan sewajarnya supaya undang-undang persekutuan dan negeri adalah sama.

"Sekiranya pindaan sedemikian dicadangkan untuk perlembagaan negeri Pulau Pinang, semua ADUN dijangka meluluskan pindaan itu sebulat suara dengan majoriti lebih dua pertiga.

Sebelum ini Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan mengenai Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik sebagai berkata selepas mendapat perkenan, rang undang-undang itu akan digazetkan pelaksanaannya mengikut garis masa yang disasarkan iaitu minggu pertama September.

Selepas itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua menteri besar dan ketua menteri untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Wan Junaidi berkata ia akan yang membolehkan semua DUN meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

-- BERNAMA