GEORGE TOWN: Bekas ketua menteri Pulau Pinang perlu menghormati segala keputusan, hala tuju dan barisan kepimpinan semasa, demi kepentingan rakyat serta kedaulatan negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam menerima teguran dan kritikan daripada mana-mana pihak sebagai semak dan imbang yang boleh memberi manfaat bagi penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Walaubagaimanapun, sebarang usaha untuk campur tangan dan mempengaruhi keputusan-keputusan kerajaan haruslah dielakkan kerana ia akan merencatkan segala usaha dan perancangan kerajaan demi kebaikan rakyat di negeri ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) berhubung had tempoh ketua menteri dua penggal.

Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata setakat ini, masih belum terdapat cadangan penggubalan Enakmen Bekas Ketua Menteri bagi memastikan code of conduct atau tatakelakuan seseorang bekas ketua menteri selaras dengan Perlembagaan Negeri.

Beliau berkata tiada halangan untuk seseorang bekas ketua menteri Pulau Pinang untuk berkhidmat kepada rakyat selepas tamat tempoh memegang jawatan tersebut.

"Di peringkat negara pun saya duduk di dalam Dewan Negara, di depan mata saya ada dua tiga orang bekas perdana menteri seperti...Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri, ramai bekas perdana menteri yang masih menunaikan tanggungjawab masing-masing dan mereka masih boleh meneruskan karier politik berdasarkan kedudukan semasa," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai soal gaji ketua menteri dikemukakan oleh Wong Yuee Harng (DAP-Pangkalan Kota), Chow berkata gaji adalah sekitar RM14,000 manakala gaji barisan exco pula adalah sekitar RM12,000 dan kali terakhir gaji exco dikaji semula ialah 10 tahun lepas.

Namun katanya semasa kajian itu dijalankan gaji ketua menteri tidak dikaji semula dan telah kekal sama untuk tempoh 20 tahun.

Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.

-- BERNAMA