KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula Isnin ini dijangka bakal melakar sejarah tersendiri dengan pembentangan dua rang undang-undang yang tidak pernah dibentangkan sebelum ini di mana-mana persidangan DUN di negara ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar berkata Rang Undang-undang Ombudsman 2023 dan Rang undang-undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Rumah Hijau) 2023, akan menjadi antara lima Rang Undang-undang yang akan dibentangkan dalam persidangan lapan hari itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesuarat pre-council hari ini beliau berkata, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan belanjawan negeri di bawah Rang Undang-undang Perbekalan 2024 pada hari Isnin.

"Kedua-dua Rang Undang-undang berkaitan Ombudsman dan Alam Sekeliling itu adalah sesuatu yang baru pertama kali diperkenalkan dalam negara," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata tiada had ditetapkan bagi jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri yang dibenarkan untuk membahaskannya semasa persidangan.

Mohd Asfia berkata dua lagi rang undang-undang yang akan dibentangkan sebelum tamat persidangan pada 29 Nov ialah Rang Undang-undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Elektrik (Pindaan) 2023.

Beliau berkata persidangan DUN telah menerima 322, dengan 222 daripadanya soalan lisan, manakala 100 lagi soalan bertulis.

Persidangan kali ini akan menyaksikan penampilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee yang baharu mengangkat sumpah selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan berkenaan baru-baru ini.

Mohd Asfia berkata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula akan akan membawa usul bagi mengambil dana daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk dipindahkan ke Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang baru ditubuhkan.

"Ada juga usul untuk lantikan seorang senator. Senator Datuk Dr Nuing Jeluing (yang dipilih oleh DUN Sarawak) akan menamatkan penggalnya sebagai senator pada 10 Dis," katanya.

-- BERNAMA