KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa meletak harapan tinggi terhadap Malaysia untuk menunaikan ikrar dan komitmen yang dibuatnya selepas dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022 -2024, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Malaysia sangat berbesar hati dengan sokongan padu yang ditunjukkan oleh masyarakat antarabangsa terhadap pemilihannya sebagai ahli majlis dan akan meneruskan usaha untuk mendapatkan hak persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan lestari dalam peranannya itu.

"Di tengah-tengah semua itu, Malaysia akan mengutamakan hak kumpulan yang mudah terdedah, terutamanya kanak-kanak, wanita, orang asli, orang kurang upaya dan warga tua, yang akan lebih terkesan dengan perubahan iklim," katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam ucapan prarakamannya ketika merasmikan Forum Hari Hak Asasi Manusia 2021: "Akses kepada Persekitaran Selamat, Bersih, Sihat dan Lestari Sebagai Hak Asasi Manusia" di sini pada Jumaat.

Malaysia dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2022-2024 selepas memenangi satu daripada 18 kerusi dengan 183 undi.

Saifuddin berkata Malaysia berusaha untuk memperkasakan lagi golongan belia dalam memainkan peranan yang lebih besar di semua peringkat membuat keputusan, kerana mereka mencetuskan pergerakan di peringkat global dalam mendorong pemimpin dunia mengambil tindakan segera bagi menangani perubahan iklim.

"Memandangkan belia dan anak-anak akan mewarisi bumi ini daripada kita, mereka adalah pemegang taruh utama kita dalam memastikan kesejahteraan planet kita ini," tambahnya.

-- BERNAMA