PUTRAJAYA: Pelajar yang turut membantu pensyarah dalam menghasilkan inovasi, termasuk pembangunan prototaip yang berpotensi dikomersialkan, wajar diberikan royalti sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan usaha mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sumbangan mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan pembangunan sesuatu produk turut dihargai, selain pensyarah yang mengetuai penghasilan inovasi berkenaan.
“Jangan lupa yang membantu pensyarah ialah pelajar-pelajar, mahasiswa dan mahasiswi yang juga membantu.
“Pelajar-pelajar mesti diberikan royalti. Jangan pensyarah saja dapat, pelajar-pelajar wajib dapat, kerana mereka juga membantu berhempas pulas,” katanya semasa berucap merasmikan Festival Idea Putrajaya 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata universiti juga perlu menyediakan laluan jelas bagi setiap idea berpotensi, bermula daripada penghasilan prototaip, mendapatkan paten sebelum dibawa ke peringkat industri atau dikomersialkan.
Beliau berkata pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu menyediakan jaringan, pembiayaan serta rakan pelaksana, bagi memastikan penyelidik tidak dibiarkan bergerak sendiri selepas menghasilkan sesuatu penemuan.
Beliau berkata sokongan berterusan juga perlu diberikan kepada pensyarah dan penyelidik selepas sesuatu penemuan dihasilkan, termasuk membuka lebih banyak peluang pembangunan kerjaya dan kenaikan pangkat.
Ahmad Zahid dalam pada itu berkata Malaysia perlu berani meletakkan cita-cita tinggi untuk melahirkan penemuan yang mampu mengubah dunia, selain memastikan hasil kemajuan teknologi dan inovasi dapat dinikmati rakyat.
Beliau berkata kejayaan penyelidikan dan inovasi tidak seharusnya hanya diukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya perlu memberi manfaat nyata kepada masyarakat, termasuk petani yang mahu meningkatkan hasil pertanian, golongan muda yang mencari pekerjaan berkualiti serta keluarga yang berusaha membina kehidupan lebih baik.
“Di situlah kehebatan teknologi menemukan makna insaniah. Jika setiap perubahan besar tamadun bermula daripada kekuatan fikiran manusia, biarlah gagasan yang lahir di Festival Idea Putrajaya menjadi permulaan kepada lonjakan besar Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan universiti perlu menjadi ruang terbuka untuk menguji idea dan membahaskan pandangan, sekali gus membentuk mahasiswa yang berani berfikir secara kritis.
Beliau berkata mahasiswa tidak seharusnya hanya bergantung kepada hafalan dan menerima sesuatu pandangan tanpa persoalan, sebaliknya perlu berani mengemukakan soalan, membina hujah serta menawarkan penyelesaian.
-- BERNAMA