Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang diminta membuat penjelasan rasmi jika kenyataannya yang dikeluarkan ketika melawat Jalan Petaling baru-baru ini telah disalah tafsir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya ia merupakan keputusan sebulat suara yang dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau semalam.

Beliau menegaskan tindakan Wisma Putra memanggil duta itu merupakan amalan biasa mengikut saluran diplomatik, yang bertujuan meminta penjelasan daripada beliau mengenai kenyataannya ketika melawat Jalan Petaling tempoh hari.

"Wisma Putra cuma ingin meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya itu telah disalah tafsir atau sebaliknya," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata sekiranya Dr Huang telah mengeluarkan kenyataan di Jalan Petaling seperti dilaporkan, maka Wisma Putra akan menasihati beliau supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman politik negara.

Katanya ia termaktub dalam Artikel 41, Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

"Jika Duta Besar China menyatakan kenyataan beliau disalah tafsir, Wisma Putra akan meminta beliau untuk mengeluarkan kenyataan berhubung perkara sebenar berlaku," kata Ahmad Zahid.

"Walaupun duta China telah mengeluarkan beberapa kenyataan di surat khabar Mandarin, tetapi pendirian jemaah menteri dan Wisma Putra supaya kenyataan rasmi perlu dikeluarkan oleh duta China itu supaya persepsi lawatan itu dapat diperbetulkan," katanya.

BACA: Menteri lain jangan campur tangan hal Wisma Putra - Anifah

Wisma Putra sebelum ini dilaporkan memanggil Dr Huang untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuat semasa lawatan beliau ke Jalan Petaling.

Pada Isnin lalu, Dr Huang mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap semua pihak menghentikan polemik mengenainya dan tidak terperangkap dengan kenyataan yang diputar belit beberapa pemimpin parti pembangkang dalam media sosial mereka.

Ahmad Zahid berkata Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan China, termasuk beberapa perjanjian bilateral dan persefahaman serta menghargai sumbangan negara China kepada Malaysia.

"Dr Huang juga merupakan seorang daripada Duta Besar China yang terbaik yang pernah dihantar berkhidmat di Malaysia. Saya menghargai sumbangan beliau bagi mengeratkan hubungan baik antara Malaysia-China," katanya.