TUMPAT: Atas dasar mengukuhkan lagi hubungan erat dengan Malaysia terutama membabitkan budaya antara dua negara, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D. McFeeters melancarkan projek dana duta untuk pemuliharaan seni Rebana Kercing hari ini.

Menurut McFeeters, inisiatif memulihara warisan budaya dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini sebagai simbolik ke arah  mengukuhkan kerjasama sedia ada melibatkan budaya dan masyarakat antara dua negara.

“Ini kesempatan yang baik sekali buat kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. Tujuan utama kami ialah membina hubungan yang erat warga Malaysia dan warga Amerika, people to people.

“Ini satu contoh kami berusaha melalui US Ambassador Fund for Culture Preservation (AFCP) membantu sedikit dengan projek UMK untuk preserve Rebana Kercing, tidak hanya tentang Rebana Kercing sebaliknya hubungan Malaysia-Amerika,” katanya pada majlis pelancaran projek 'Preservation Of the Rebana Kercing of Kampung Laut' di sini hari ini.

Penasihat Persatuan Rebana Kercing Kampung Laut Harun Hassan, 76, membuat persembahan Rebana Kercing pada majlis pelancaran projek 'Preservation Of the Rebana Kercing of Kampung Laut' hari ini. - Foto BERNAMA

Katanya lawatan ke Kelantan ini merupakan kali keduanya selepas 10 tahun yang lalu.

Pada lawatan terdahulu, pelbagai program kerjasama antaranya program pertukaran pengajian melibatkan remaja dan program pertukaran pendidikan usahawan antara dua negara telah diusahakan.

McFeeters hari ini turut meluangkan masa bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, ahli akademik dan pemimpin muda.

Pada pertemuan dengan Ahmad, McFeeters turut menyentuh harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan AS dan Kelantan.

Pada pertemuan dengan Ahmad, McFeeters turut menyentuh harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan AS dan Kelantan. - Foto BERNAMA

Menyentuh mengenai Anugerah Dana Duta bagi Projek Pemuliharaan Rebana Kercing, sejumlah RM200,000 diperuntukkan  untuk penyelidikan dan dokumentasi warisan budaya Rebana Kercing.

Sementara itu, Pemangku Naib Canselor (UMK), Profesor Nik Maheran Nik Muhammad berkata seni budaya Rebana Kercing kini semakin pupus.

Katanya Rebana Kercing merupakan tarian tradisional yang diperkenalkan lebih 150 tahun lalu di Kampung Laut, Tumpat.

“Proses  penyelidikan dan dokumentasi kita akan laksanakan sehingga November ini dan hujung tahun kita akan persembahkan apa yang didapati dan juga kita akan persembahkan Rebana Kercing dari kalangan anak-anak muda sekolah dan universiti yang ambil bahagian dari projek ini,” katanya.

Untuk rekod, seni budaya Rebana Kercing yang diancam kepupusan tidak popular seperti mana warisan budaya mak yong dan wayang kulit yang turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.