Calon DAP bagi pilihan raya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud seorang yang 'berani' kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malaysian Insider melaporkan Hadi menyifatkan Dyana Sofya seorang yang berani kerana bertanding atas tiket DAP.

Hadi juga berkata keberanian seperti yang ditunjukkan oleh Dyana Sofya itu diperlukan di kalangan pemimpin pembangkang.

"Kita mesti pilih seorang bertenaga, yang tunjuk keberanian dia. Kita anggap Dyana berani, sanggup jadi calon DAP.

"Saya tak sanggup jadi calon DAP," kata Hadi berseloroh semasa bertemu para pengundi di sebuah majlis jamuan teh di Teluk Intan pada Isnin.

Presiden PAS itu bersama pemimpin Pakatan Rakyat yang lain, termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang, berkempen untuk Dyana menjelang pilihan raya kecil Teluk Intan 31 Mei ini.

Hadi juga dilaporkan sebagai berkata soal bangsa seseorang calon tidak penting dalam pilihan raya, tetapi yang lebih penting adalah perwatakan dan prinsip.

"Kalau kita cerdik, kita bukan bincang pasal bangsa orang yang kita pilih sebagai calon jadi wakil kita, wakil bagi Parlimen. Kalau menang sebagai calon, akan cakap di Parlimen bagi pihak kita.

"Kita percaya Dyana, lawyer muda, kalau menang jadi wakil rakyat kita, dia bercakap, dia berani, kita percaya."

Ahli Parlimen Marang itu juga dilaporkan berkata calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong akan hanya jadi "tukang angguk" di dalam Parlimen.

Hadi berkata, beliau bimbang BN menggunakan wang dan saguhati memancing undi dalam pilihan raya di Teluk Intan.

"Saya percaya, khususnya di kawasan-kawasan Melayu, (BN) akan banyak tabur duit. Saya tahu ini kerajaan BN, terutama bila calon kaya," katanya.

Dengan menggunakan perumpamaan Iakn dan umpan, Hadi turut mengingatkan pengundi Melayu di Teluk Intan supaya tidak mudah termakan janji yang dibuat BN.

"Ikan cerdik makan umpan, tak makan kail. Bagilah banyak-banyak umpan, biar umpan habis. Kail jangan makan," tambahnya.

Beberapa menteri sebelum ini menjanjikan pelbagai pembangunan di Teluk Intan sekiranya presiden Gerakan menang, termasuk kelajuan Internet lebih tinggi, sebuah krematorium dan dewan orang ramai untuk masyarakat India, dan pakaian seragam baru untuk sukarelawan Rela.

Bagaimanapun, Mah menjauhkan diri dari janji tersebut dengan berkata beliau hanya bertanggungjawab untuk manifesto sendiri.