Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Dzulkefly mahu agenda transformasi kesihatan dilunaskan dalam penggal Parlimen 2026

 pelancaran program Ubat Melalui Pos (UMP) kredit: FB Dr Dzulkefly
Fahmi dan Dr Dzulkefly menghadiri majlis pelancaran Pembiayaan Inisiatif UMP, di Putrajaya, pada Selasa. - Gambar Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
Advertisement

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mahu agenda transformasi sistem kesihatan negara, termasuk pemodenan sistem dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada pesakit, dapat dilunaskan dalam penggal Parlimen ke-15.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan cabaran besar kerana bukan sahaja perlu memastikan kesiapsiagaan fasiliti, malah penyampaian perkhidmatan kesihatan sentiasa memenuhi keperluan rakyat.

Justeru, beliau berkata antara tumpuan adalah memperkemas sistem sedia ada serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan, dengan pengalaman dan perjalanan pesakit menjadi antara pertimbangan utama dalam pelaksanaan inisiatif kementerian.

"Berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perkhidmatan kesihatan dan juga sistem perkhidmatan, saya pastinya adalah antara menteri yang berdepan dengan plethora of problems, yang sifatnya kementerian kami ini adalah sifat satunya facility-based, keduanya perkhidmatan-based.

"Maka dengan itu, cabaran bagi saya dan kementerian saya, KSU (Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad) dan KP (Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab) adalah untuk memastikan dalam Parlimen ke-15 ini, saya mahu melunaskan cita-cita saya untuk pembentukan sistem moden dan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Apa jua caranya, platformnya, inisiatifnya, saya pasti akan lunaskan dalam waktu sesegera mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching, serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Dzulkefly berkata KKM berdepan pelbagai cabaran kesihatan yang semakin kompleks termasuk aspek keselamatan dan kualiti makanan, kesihatan mental serta planetary health.

Dalam usaha memperkukuh transformasi kesihatan, beliau berkata KKM turut memberikan perhatian kepada pendigitalan dan kebolehoperasian antara sistem serta fasiliti kesihatan.

Beliau berkata pendekatan itu, termasuk usaha ke arah rekod perubatan elektronik yang membolehkan kebolehoperasian antara fasiliti kesihatan awam dan swasta.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata KKM mahu penyampaian perkhidmatan kesihatan semakin dekat dengan masyarakat dan mengurangkan kebergantungan pesakit kepada hospital atau fasiliti kesihatan bagi urusan yang boleh dilaksanakan melalui kaedah alternatif.

Beliau berkata UMP adalah antara contoh pendekatan itu kerana membolehkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu datang ke fasiliti kesihatan semata-mata untuk mengambil ubat.

"Inilah pengalaman pesakit. Kita mahu membangunkan sistem penyampaian kesihatan yang lebih dekat (dengan pesakit). Kita mahukan rawatan yang lebih baik dan pastinya pada akhirnya mengurangkan kesesakan di hospital," katanya.

Dzulkefly berkata usaha menambah baik penyampaian ubat susulan bukan sesuatu yang baharu, dengan pelbagai inisiatif farmasi diperkenalkan secara berperingkat sejak lebih sedekad. 

Antaranya ialah Farmasi Pandu Lalu, Locker4U dan Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS), selain UMP serta aplikasi MyUbat yang dibangunkan bagi memudahkan pengurusan bekalan ubat susulan.

Beliau berkata pendekatan sedemikian dapat menjimatkan masa dan kos pesakit selain meningkatkan kemudahan mendapatkan ubat serta membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan.

"Perkhidmatan kesihatan bukan sahaja perlu tersedia, tetapi juga mudah dicapai oleh seluruh rakyat. Sebab itu kita mahu lunaskan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement