KUALA LUMPUR: Sebarang kesepakatan yang dicapai dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) perlu dirasai oleh rakyat.
Selain itu, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, semua keputusan juga perlu dibuat secara kolektif bagi meningkatkan kecekapan sistem kesihatan awam dalam kalangan semua negara anggota.
"Mustahak untuk AHMM ini dapat dirasakan oleh rakyat. Agenda Strategik Kesihatan ASEAN (ASHA) 2026-2030, contohnya, akhirnya akan dilaksanakan oleh semua negara anggota ASEAN. Perkongsian amaran awal, data lebih pantas dan maklumat penyakit rentas sempadan secara maya serta masa nyata.
“Berikutnya hal yang terkait dengan standard dan piawaian keselamatan import-eksport makanan rentas sempadan. Sistem kesihatan yang lebih cekap adalah kerana kita ada perkongsian kepakaran dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
AGENDA AWANI | Dzulkefly mahu keputusan AHMM ke-17 dirasai oleh rakyat, jamin kesihatan awam
Malaysia mempengerusikan AHMM di ibu negara selama lima hari bermula hari ini.
Menurut Dzulkefly, mesyuarat tersebut juga akan menyaksikan pelancaran Agenda Strategik Kesihatan ASEAN (ASHA) 2026-2030 pada Khamis 10 September. Beliau menyifatkan agenda tersebut sebagai kemuncak diplomasi kesihatan Malaysia.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan AHMM menjadi platform utama bagi menteri kesihatan ASEAN membincangkan isu kesihatan serantau dan memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dalam bidang kesihatan.
Antara hasil utama AHMM adalah persetujuan terhadap keutamaan kesihatan serantau dan pemuktamadan Kenyataan Bersama bagi memperkukuh kerjasama kesihatan dalam kalangan negara anggota.
Bertemakan “ASEAN Sihat: Bersama-sama ke Arah Sistem Kesihatan Saksama dan Bersedia Menghadapi Masa Hadapan”, AHMM ke-17 mengetengahkan enam acara sampingan yang akan membawa isu dan agenda kesihatan yang penting ke persada ASEAN.
Ia meliputi kesihatan paru-paru, penyakit jarang jumpa, kesihatan mata, sains tingkah laku, peranti perubatan dan penyelidikan ubat.
Agenda AWANI: Peneraju Kesihatan Serantau | Peranan Malaysia Dalam AHMM Ke-17