TENOM: Pengadu kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa pendakwah terkenal itu kerap menghubunginya melalui panggilan telefon dan video menerusi aplikasi WhatsApp selain menghantar gambar serta menunjukkan kemaluan.

Pengadu wanita itu merupakan saksi pendakwaan yang kesembilan tampil untuk memberi keterangan di Mahkamah Tenom pada Selasa.

Dalam keterangannya menerusi pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, pengadu mengakui ada berhubung dengan pendakwah tersebut menerusi aplikasi Instagram (IG).

"Seingat saya pada 4 Mac 2021, saya ada hubungi Ebit Lew di IG beliau, kemudian dia membalas mesej saya dan meminta nombor telefon.

"Tanpa rasa ragu, saya memberikan nombor telefon saya kemudian dia terus WhatsApp. Dia bertanyakan tentang apa masalah saya dengan suami. Ebit Lew membuat panggilan dan masa itu saya sambut panggilan beliau kerana bagi saya, tidak fikir perkara yang bukan-bukan," katanya yang turut memberikan gambarnya sekeluarga.

Bagaimanapun, pengadu memaklumkan pada jam 4.30 petang 14 Mac 2021, pendakwah tersebut buat pertama kali mengirimkan gambar kemaluan.

Pengadu turut memaklumkan kepada mahkamah, dia ada bertanya kenapa pendakwah tersebut melakukan perkara sedemikian.

"Masa itu dia beritahu isteri tidak dapat melayan kehendak dia, kehendak seks dia yang terlalu tinggi. Saya cuba menasihati tetapi beliau tidak mengendahkan malah terus WhatsApp dan cuba mempengaruhi saya untuk memberikan gambar kepadanya," katanya.

Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian