Skip to main content

Malaysia

ECRL ditetapkan pada 160 km/j demi keselamatan operasi

Projek ECRL turut mencatat kejayaan penting apabila Terowong Genting sepanjang 16.39km muncul sebagai terowong rel terpanjang di Asia Tenggara. - Foto ECRL
Projek ECRL turut mencatat kejayaan penting apabila Terowong Genting sepanjang 16.39km muncul sebagai terowong rel terpanjang di Asia Tenggara. - Foto ECRL

Ringkasan AI

  • Kelajuan operasi maksimum ECRL ditetapkan pada 160 km/j bagi memastikan keseimbangan kecekapan perjalanan, keselesaan penumpang dan keselamatan operasi.
  • Terowong Genting sepanjang 16.39km menjadi terowong rel terpanjang di Asia Tenggara, melengkapkan kerja pengorekan 40 terowong sepanjang jajaran ECRL.
  • Reka bentuk ECRL mengambil kira unjuran banjir, perubahan iklim dan keperluan sistem saliran untuk memastikan keselamatan infrastruktur jangka panjang.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kelajuan operasi maksimum Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditetapkan pada 160 kilometer sejam (km/j) bagi memastikan keseimbangan antara kecekapan perjalanan, keselesaan penumpang dan tahap keselamatan operasi.

Ketua Reka Bentuk Infra ECRL, Mohd Rahim Ab Rahman, berkata had kelajuan itu telah ditetapkan sejak awal menerusi spesifikasi kontrak dan menjadi asas kepada keseluruhan reka bentuk jajaran rel berkenaan.

“Untuk operasi, kita memang mengisytiharkan kelajuan 160 km/j dan reka bentuk jajaran dibangunkan berdasarkan sasaran itu,” katanya.

Advertisement

Menurut beliau, walaupun tren mempunyai keupayaan teknikal untuk bergerak pada kelajuan yang lebih tinggi, operasi komersial perlu mematuhi reka bentuk landasan yang telah dibangunkan.

Katanya, faktor seperti geometri landasan, radius selekoh, lokasi stesen dan susun atur jajaran memainkan peranan penting dalam menentukan kelajuan operasi sistem rel berkenaan.

Advertisement

“Kalau kita reka bentuk untuk kelajuan tertentu, geometri landasan termasuk radius selekoh perlu dibina mengikut parameter tersebut. Itu yang menentukan bagaimana tren boleh beroperasi dengan selamat,” tambahnya.

Mohd Rahim menjelaskan bahawa sistem kereta api berkelajuan tinggi memerlukan radius selekoh yang jauh lebih besar berbanding reka bentuk yang digunakan untuk ECRL.

Tegasnya, penetapan kelajuan 160 km/j membolehkan sasaran masa perjalanan ekspres sekitar empat jam dicapai tanpa menjejaskan keselamatan operasi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata projek ECRL turut mencatat kejayaan penting apabila Terowong Genting sepanjang 16.39km muncul sebagai terowong rel terpanjang di Asia Tenggara.

Pencapaian itu melengkapkan kerja pengorekan kesemua 40 terowong di sepanjang jajaran ECRL sejauh 665km yang menghubungkan Kota Bharu di Kelantan dengan Pelabuhan Klang di Selangor.

Tambah Mohd Rahim, cabaran utama pembinaan bukan hanya melibatkan terowong dan landasan, tetapi juga memastikan pembangunan tidak meningkatkan risiko banjir kepada kawasan sekitar.

“Konsepnya bukan projek tebatan banjir, tetapi kita perlu memastikan projek yang dibina tidak memburukkan keadaan sedia ada,” katanya.

Jelasnya, reka bentuk ECRL turut mengambil kira unjuran banjir jangka panjang, perubahan iklim dan keperluan sistem saliran bagi memastikan infrastruktur itu kekal selamat dalam tempoh operasi yang panjang.

Must Watch Video

Advertisement