Skip to main content

Malaysia

ECRL pacu sektor pelancongan Pahang, jumlah pelawat dijangka meningkat

BERNAMA
Nor Zahira berkata peningkatan itu dijangka berlaku berikutan kemudahan akses dan tempoh perjalanan yang lebih singkat menerusi projek mega negara itu. - Gambar Bernama
Advertisement

KUANTAN: Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dijadualkan beroperasi awal tahun depan dilihat akan memacu sektor pelancongan Pahang, dengan jumlah pelawat ke negeri ini dijangka meningkat hingga 30 peratus.

Pengurus Besar Tourism Pahang Nor Zahira Muhammad Azmi berkata peningkatan itu dijangka berlaku berikutan kemudahan akses dan tempoh perjalanan yang lebih singkat menerusi projek mega negara itu. 

“Kami jangka berlaku peningkatan pelawat 20 hingga 30 peratus daripada jumlah pelancong yang kita sasarkan pada tahun ini, iaitu 17 juta,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata Pahang mempunyai kapasiti penginapan yang mencukupi untuk menampung peningkatan pelancong, dengan kira-kira 36,000 bilik berdaftar tersedia di seluruh negeri.

“Dari segi penginapan, saya rasa tidak ada masalah kerana Pahang mempunyai antara kapasiti penginapan terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, semua penggiat industri pelancongan perlu membuat persiapan daripada sekarang dan tidak menunggu sehingga ECRL mula beroperasi,” katanya.

Nor Zahira berkata kebanyakan hotel kini turut memainkan peranan mempromosikan destinasi pelancongan berhampiran kepada tetamu, sekali gus membantu memastikan industri bersedia menerima limpahan pelancong menerusi ECRL.

Di samping itu, beliau berharap semua sektor pelancongan mendapat manfaat daripada projek berkenaan berikutan masing-masing mempunyai potensi tersendiri, termasuk ekopelancongan, agropelancongan dan destinasi pantai serta tasik.

“Selain itu, sektor inap desa, pelancongan budaya dan gastronomi dijangka berkembang kerana pelancong kini lebih berminat mendapatkan pengalaman tempatan, antaranya untuk menikmati juadah tradisional, jadi dengan perjalanan yang lebih singkat, lebih ramai juga berpeluang melakukan lawatan harian,” kata Nor Zahira. 

Beliau turut berpandangan pakej pelancongan berasaskan kereta api berpotensi untuk diperluas menerusi pengoperasian ECRL, dengan agensi pelancongan digalakkan menawarkan pakej mengikut stesen dan destinasi berdekatan.

“Sebagai contoh, pelancong yang turun di stesen Bentong boleh dibawa ke Genting Highlands, manakala dari Temerloh pula boleh diteruskan ke Kuala Gandah atau Pekan Sehari,” katanya. 

Selain menyarankan penggiat industri pelancongan membuat persiapan awal dengan produk yang bakal ditawarkan, Nor Zahira turut berharap pengusaha pusat penginapan memastikan premis masing-masing berdaftar.

Pelancong kini semakin bijak dan mementingkan aspek keselamatan, termasuk memilih penginapan yang berlesen serta mempunyai perlindungan insurans bagi menghadapi sebarang perkara tidak dijangka. 

Pengusaha juga perlu bekerjasama dengan agensi pelancongan untuk mengetengahkan pakej baharu selain memanfaatkan media sosial bagi tujuan promosi.

"Media sosial sangat memainkan peranan, sekejap sahaja kalau cerita tular, majulah tempat itu," katanya sambil menambah pihak Tourism Pahang turut bersedia membantu mempromosikan pusat penginapan yang berlesen. 

Pahang mempunyai tujuh stesen ECRL, iaitu di Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City dan Cherating dengan projek berkenaan sebelum ini dijadual siap hujung tahun ini, dan mula beroperasi tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement