SEREMBAN: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 768.9 gram, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala, 46, dan Mohd Najmi Abd Rahim, 36, selepas diidapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah tersebut di sebuah restoran makanan segera di Persiaran Pusat Bandar, Nilai pada jam 3.45 petang, 18 Sept 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dengan tiga sebatan terhadap Mohd Najmi selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 13.11 gram pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Sept 2018 manakala pelaksanaan hukuman sebatan ditangguhkan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Azman berkata kedua-dua tertuduh perlu bersyukur kerana bulan lepas terdapat pindaan yang mana mahkamah boleh menjatuhkan hukuman pilihan iaitu pemenjaraan dan tidak menjatuhkan hukuman gantung bagi kesalahan mengedar dadah.

"Di sebalik apa yang berlaku pada kamu berdua (tertuduh), terdapat perkara yang patut kamu bersyukur kerana pindaan kepada hukuman gantung telah diluluskan. Sebelum ini ramai didapati bersalah atas kesalahan ini (mengedar dadah) dikenakan hukuman gantung sampai mati.

"Ini semua bergantung kepada kepercayaan kita. Mana-mana agama, anutan semua, kalau kita tidak ditakdirkan mati di tali gantung sememangnya begitulah takdir," kata hakim itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly manakala Muhammad Zarif diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin dan Mohd Najmi oleh R. Palaya.

-- BERNAMA