NATIONAL
Ekosistem KESUMA atasi isu ketidakpadanan pekerjaan graduan

Steven menyampaikan ucapan perasmian pada Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs @Hari Pekerja 2025, anjuran PERKESO di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto PERKESO
KUALA LUMPUR: Ekosistem Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merangkumi latihan, karnival kerjaya dan aplikasi teknologi baharu mampu menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan.
Inisiatif itu digerakkan melalui kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, 5.74 juta graduan berjaya menamatkan pengajian tahun lalu, namun 32.4 peratus daripada mereka dilaporkan bekerja dalam jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan.
“Daripada penelitian kita menerusi PERKESO, tiga sektor utama yang didapati paling tinggi berlaku ketidakpadanan kerja dalam kalangan graduan ialah di sektor pentadbiran awam, pengeluaran serta borong dan peruncitan.“Isu underemployment ini bukan isu remeh kerana negara telepas peluang untuk menggunakan sepenuhnya ilmu dan kemahiran graduan di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven Sim bersama dif-dif kehormat menyantuni pengunjung di reruai kerjaya yang disediakan. - Foto PERKESO
Ekspo yang berlangsung sehingga 1 Mei itu menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan penglibatan 158 majikan, meningkat 53.4 peratus berbanding penganjuran tahun lalu.
Dalam ucapan sama, Steven Sim turut memaklumkan bahawa sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyaksikan pertumbuhan positif sejak beberapa tahun ini.
Sehingga 4 April 2025, seramai 17,335 graduan TVET berjaya ditempatkan dalam pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, manakala lebih 230,000 kekosongan jawatan berkaitan TVET telah diiklankan sejak awal tahun.
“MYFutureJobs mengiklankan lebih 700,000 kekosongan berkaitan TVET sepanjang tahun lepas, membuktikan potensi besar sektor ini,” katanya.
Portal Labour Market Exchange (LMX) kendalian PERKESO turut diperkenalkan bagi menyediakan gambaran 360 darjah tentang pasaran buruh negara, termasuk kadar gaji, arah aliran industri dan kategori pekerjaan.
“Justeru, Ekspo Kerjaya MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 dan keseluruhan ekosistem KESUMA digerakkan untuk mengatasi isu ketidakpadanan kerja dalam kalangan graduan,” katanya.
Bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, ekspo ini mengiktiraf peranan penting pekerja dalam memacu pembangunan ekonomi Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai senarai jawatan dan pendaftaran boleh didapati di portal rasmi www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.

Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula hari ini sehingga 1 Mei. - Foto PERKESO
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami