KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaan yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.20 pagi di hadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Jalan Tanah Putih, di sini, telah meragut nyawa Eksekutif Pemasaran TM Point, Mohd Zulhairool Azwan Zulkifli, 33.

Mangsa yang beralamat di Perumahan Kempadang Baru, di sini, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HTAA.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori berusia 53 tahun dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 21 tahun yang memandu MPV jenis Proton Exora tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Jalan Tanah Putih menghala ke Jalan Mahkota.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu pelajar perempuan yang berada di hadapan dipercayai mengubah haluan dari kiri ke lorong kanan sebelum bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa.

"Mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar penghadang di tengah jalan sebelum dia tercampak ke laluan bertentangan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pada masa sama, sebuah lori yang datang dari arah pusat bandar menghala ke Tanah Putih tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di laluannya.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke HTAA Kuantan untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.