Teks: Athirah Zulkifli
Instagram: @tyranooy
Penyanyi busker, Khai Bahar bukan satu nama asing dalam kalangan netizen yang aktif mengikuti dan berkomuniti di laman-laman media sosial Instagram, Facebook dan YouTube. Persoalannya di sini, siapa Khai Bahar? Ada apa dengan Khai Bahar sehinggakan video ‘Smule’ nyanyiannya merebak-rebak seperti wabak dan meraih view lebih sejuta?
Lagu ‘Resepi Berkasih’ duet ‘Smule’ Khai Bahar dengan Siti Nordiana raih lebih satu juta views selepas sebulan dimuat naik.
Nama Khai Bahar tiba-tiba mejadi fenomena luar biasa lantas merebak menjadi bualan hangat di media sosial selepas nyanyiannya secara maya bersama Siti Nordiana menerusi aplikasi ‘Smule’, menjadi viral. Muhamad Khairul Baharudin, 22, tidak menyangka bahawa video ‘main-main’ dan ‘suka-suka’ itu melonjakkan kemasyhuran luar biasa. Seperti mimpi, kini Khai sudah pun bergelar artis naungan NAR Records. InTrend berkesempatan menemu bual Khai Bahar, mendekati anak muda pemalu yang mula mengumpul lebih sejuta peminat di laman YouTube.
Siapa sebenarnya Khai Bahar?
Khai hanyalah manusia biasa yang minat menyanyi. Khai berasal dari Perlis, pernah bekerja mencari rezeki di Sarawak selama tujuh bulan dengan menjadi penyanyi busker. Sebelum ini, Khai pernah cuba menyertai uji bakat rancangan Akademi Fantasia (dua tahun lepas kalau tak silap), tetapi tidak terpilih. Selain itu, Khai juga pernah menyertai pertandingan Mentor Legend. Nasib Khai baik kerana terpilih sebagai protege Dayang Nurfaizah. Tetapi sayang sekali, ternyata peluang itu memang bukan rezeki mutlak Khai. Khai terpaksa menarik diri disebabkan masalah peribadi.
Bagaimana Khai boleh bermula dengan ‘Smule’?
Khai dapat tahu tentang aplikasi ‘Smule’ ini pun daripada kawan. Dialah yang minta Khai cuba-cuba ‘Smule’. Memang saat itu tak terlintas langsung dalam fikiran yang video ‘Smule’ Khai boleh jadi viral sampai cecah sejuta penonton. Tiada niat pun muat naik video ‘Smule’ untuk jadi popular. Apatah lagi menumpang populariti Siti Nordiana. Khai buat memang dengan tujuan suka-suka. Mulanya, Khai muat naik video itu di Facebook, kemudian Siti Nordiana komen dan tup-tup selepas itu, tanpa Khai sedar, video duet itu terus jadi viral. Memang Khai terkejut.
Pernah terlintas dalam fikiran ingin berduet dengan Siti Nordiana?
Jujur Khai akui, Khai memang peminat Siti Nordiana selepas dia menjuarai Gegar Vaganza 2. Selain Siti Nordiana, Khai juga meminati Dato’ Siti Nurhaliza dan Ziana Zain. Jadi apabila kawan-kawan sedar yang Siti Nordiana ada ‘Smule’, mereka terus cadangkan Khai cuba berduet dengan Siti Nordiana. Rasa aneh juga. Tapi lama-lama rasa seronok. Yang penting, Khai dapat berduet (walaupun secara maya) dengan penyanyi pujaan Khai.
Pernah bertemu empat mata dengan Siti Nordiana?
Tak pernah lagi. Tapi hari Khamis ini (temu bual InTrend ini dilangsungkan pada hari Selasa), insya-Allah, Khai akan dipertemukan dengan Siti Nordiana buat kali pertama, dalam rancangan Motif Viral? di saluran ASTRO Ria. Iiishh... Nervous!
Apa komen Siti Nordiana tentang nyanyian Khai?
Siti Nordiana pernah komen, suara Khai boleh digilap lagi supaya lebih cantik. Lebih solid.
Lokasi kebanyakan video ‘Smule’ yang Khai hasilkan itu, di mana sebenarnya? Kadang-kadang nampak macam di bawah katil dua tingkat?
Memang betul, di bawah katil saja. Lokasi favourite Khai itu sebenarnya adalah rumah sewa Khai di Sarawak. Di dalam rumah sewa itu ada sebuah bilik kosong, senyap sikit, jadi Khai gunakan bilik tersebut untuk rakam video ‘Smule’. Bagi Khai, tidak kisahlah di mana-mana pun, janji boleh menyanyi dengan selesa dan hati happy, hahaha.
Tidak perlu ke studio canggih pun! Cuma dari celah katil ‘double-decker’, Khai Bahar selamba berduet lagu ‘Memori Berkasih’ dengan Siti Nordiana.
Bagaimana Khai mula dilamar NAR Records? Siapa rujukan Khai untuk pandangan dan nasihat?
Sejarah perkenalan Khai dengan NAR Records sebenarnya sudah bermula semenjak zaman YouTube lagi. Mereka pernah ‘melamar’ satu masa dulu, tetapi waktu itu Khai masih belum bersedia. Hati tak berapa yakin. Malah Khai fikir, mungkin belum masanya lagi untuk menjadi artis rakaman. Baru kini Khai rasa benar-benar tenang dan bersedia. Khai banyak merujuk dan memohon pandangan ahli keluarga. Sebelum Khai datang merantau ke Kuala Lumpur ini pun, keluarga di kampung sudah maklum, ke mana akan Khai tujui dan apa matlamat Khai merantau ke kota. Insya-Allah, Khai pegang janji. Khai jaga nama baik dan maruah keluarga.
Kalau diberi peluang menghasilkan single, siapa lawan duet Khai (selain Siti Nordiana)?
Hmmphh... (berfikir). Jika diberi peluang, Khai teringin juga berduet dengan Dato’ Siti Nurhaliza dan Ziana Zain. Selain Siti Nordiana, Dato’ Siti dan Ziana, Khai teringin juga berduet dengan Najwa Latiff.
Lima perkara orang tidak tahu tentang Khai Bahar?
Hmmm, haha… Khai ini pemalu orangnya (ketawa lagi). Khai suka tidur, hahaha. Apabila keluar bersiar-siar atau shopping, Khai suka berjalan di depan. Maksudnya, kawan-kawan tertinggal di belakang. Khai suka tidur lewat malam (kadang-kadang berjaga sampai pagi), dan Khai akan menyanyi dahulu barulah lena tidur. Perkara kelima, kalau pembaca InTrend mahu tahu, Khai juga ada penyakit melatah, hehehe. So jangan terperanjatkan saya please. Nahas nanti.
Ucapan Khai Bahar untuk peminat-peminat online yang sudah demam tergila-gilakan video ’Smule’ anda?Pertama sekali, terima kasih InTrend sudi menemu bual. Terima kasih peminat sebab sudi menonton semua video ‘Smule’ Khai. Malah terima kasih yang tak terhingga juga buat mereka yang banyak menyokong Khai, dari tiada apa-apa hinggalah hari ini. Sebagaimana anda semua selalu mendoakan Khai, begitu jugalah Khai doakan kalian semua, semoga terus sihat dan dimurahkan rezeki. Amin.