PUTRAJAYA: Kerajaan akan menaikkan elaun bulanan bagi penjawat awam berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam menjalankan tugas rasmi mereka, berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu sesuai dalam usaha menggalakkan diplomat Malaysia untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain.

"Kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan bagi penjawat awam berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam menjalankan tugas rasmi mereka, berkuat kuasa 1 Januari 2023," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Perwakilan Diplomatik Malaysia juga merupakan tulang belakang kerajaan Keluarga Malaysia.

Justeru, setiap perwakilan ujar Perdana Menteri, perlu terus membantu Malaysia terutama dalam bidang pelaburan dan kerjasama strategik dengan negara luar.

"Saya sentiasa sedar realiti semasa di mana kerajaan perlukan dukungan semua penjawat awam selaku tulang belakang negara termasuk Perwakilian Diplomatik Malaysia.

"Bergerak ke harapan ayuh sama sama kita zahirkan impian dalam membina sebuah kerajaan sejahtera dalam menjunjung semangat Keluarga Malaysia," kata Ismail Sabri lagi.