POKOK SENA: Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun memaklumkan, remaja sindrom down yang juga mangsa penderaan, Bella menunjukkan perubahan positif dan semakin ceria selain luka-luka dibadannya sudah kembali pulih.

Menurut beliau, pada masa ini, Bella berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memastikan kesihatan serta pembangunan emosi remaja berusia 13 tahun itu pada tahap terbaik.

Sehubungan itu, Rina sekali menggesa pihak berkuasa agar dapat memastikan pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Katanya, tindakan itu perlu bagi memastikan pengajaran dapat diberikan kepada pihak terlibat selain kes yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Kita gesa pihak berkuasa bawa pelaku ke muka pengadilan sebab bidang siasatan (ini) di luar bidang Kementerian (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), jadi kita faham skop kerja tersebut.

"Saya juga telah berhubung dengan pihak berkuasa untuk bertanyakan status (atau perkembangan kes adik Bella) dan katanya siasatan telah dibuat dan telah selesai, serta (ketika ini) tengah menunggu (tindakan) daripada pihak pendakwa raya untuk meneruskan kes ini (ke peringkat) seterusnya,

"Kita hendak pesalah ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera supaya ia akan jadi satu pengajaran kepada yang lain," tegas Rina.



Laporan Khas | Dakwaan Bella didera, saksi tampil berkongsi kisah hitam




#JusticeForBella | 11 lagi penghuni diselamatkan


BACA: 'Pernah lihat Bella dipukul dengan penyangkut baju' - Saksi dakwa nampak kejadian di rumah perlindungan

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena pada Jumaat.

Pada 13 Julai lalu, polis mengesahkan kertas siasatan kes remaja sindrom down (SD) dipercayai didera dikenali sebagai Bella telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, bagi penelitian pihak pendakwaan.

BACA: #JusticeForBella: Dua siasatan dibuat, satu dirujuk kepada Peguam Negara - Polis

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya turut mengemukakan beberapa cadangan untuk penilaian berhubung kes terbabit.

JKM Kuala Lumpur juga telah menyita sebuah rumah kebajikan yang terbabit dalam siasatan kes penderaan Bella.