GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengaktifkan Pelan Kontingensi Sungai Muda 2026 (SMCP 2026) susulan penurunan mendadak kapasiti Empangan Muda di Kedah, bagi memastikan bekalan air di negeri ini tetap mencukupi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk K. Pathmanathan berkata tindakan itu diambil selepas Empangan Muda dilaporkan susut kepada 20 peratus setakat 20 Feb lepas berbanding 84.6 peratus pada 1 Jan 2026 dan Empangan Beris berada pada paras 78.1 peratus setakat 16 Feb lepas, berbanding 100 peratus pada awal tahun ini.
Advertisement
“Kedua-dua empangan ini melepaskan air ke Sungai Muda yang merupakan sumber utama air mentah Pulau Pinang. Berikutan musim panas yang panjang dan aktiviti pengeluaran air bagi tujuan pengairan secara agresif sejak 1 Jan lepas, kapasiti Empangan Muda telah menyusut ke paras kritikal.
“PBAPP menjangkakan empangan ini tidak lagi dapat melepaskan jumlah air mentah yang signifikan ke dalam sistem Sungai Muda dalam masa terdekat, berkemungkinan seawal Mac 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sekiranya Empangan Muda terjejas, rizab Empangan Beris akan digunakan dan dengan kapasiti semasa 78.1 peratus, empangan tersebut dijangka mampu menyokong keperluan bekalan air Kedah dan Pulau Pinang sehingga musim hujan yang diramalkan pada April 2026.
Bagaimanapun, Pathmanathan berkata terdapat beberapa ketidakpastian termasuk jangkaan sebenar ketibaan musim hujan susulan perubahan iklim, jumlah taburan hujan serta impaknya terhadap kapasiti kedua-dua empangan berkenaan bagi baki tahun ini.
Beliau berkata antara elemen utama SMCP 2026 bagi meminimumkan impak potensi krisis Sungai Muda kepada Pulau Pinang ialah mengabstrak sebanyak mungkin air mentah dari Sungai Muda selagi paras sungai tidak susut di bawah 1.5 meter di muka sauk Lahar Tiang, bagi menyokong pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
“Selain itu, PBAPP akan melaksanakan pelepasan air mentah secara strategik dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai Tengah apabila berlaku kekurangan bekalan dari Sungai Muda, dengan kapasiti maksimum pengeluaran 600 juta liter sehari (JLH).
“PBAPP juga meneruskan Program Double Dam Defence di bahagian pulau dengan mengepam kira-kira 407 JLH air terawat dari Sungai Dua secara berterusan bagi memastikan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang tidak kering,” katanya.
Beliau berkata sekiranya pelan itu berjalan seperti dirancang, Pulau Pinang berpotensi mengharungi 2026 tanpa krisis bekalan air selagi PBAPP dapat mengabstrak sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah air mentah yang diabstrak pada 2025, iaitu 500 JLH.
Namun, katanya SMCP 2026 mungkin tidak dapat sepenuhnya melindungi negeri itu sekiranya PBAPP tidak dapat mengabstrak sebarang air dari Sungai Muda, memandangkan kapasiti maksimum pelepasan EMD ialah 600 JLH, manakala LRA Sungai Dua memerlukan kira-kira 1,000 JLH untuk beroperasi secara optimum.
Sehubungan itu, PBAPP memohon sokongan dan kerjasama pengguna Pulau Pinang supaya menggunakan air secara berhemat sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan, bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua sepanjang tahun ini.
-- BERNAMA