TEMERLOH: Empat daerah di Pahang disenaraikan sebagai lokasi tumpuan utama untuk dinaik taraf liputan perkhidmatan internet khususnya rangkaian teknologi generasi keempat (4G), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata capaian liputan 4G di daerah berkenaan masih berada di bawah 80 peratus iaitu 68.94 peratus di Lipis, Cameron Highlands (76.38 peratus), Jerantut (77.38 peratus) dan Rompin (79.18 peratus).

Kadar keseluruhan capaian liputan 4G di Pahang ialah 89.10 peratus berbanding purata nasional 92.03 peratus. Kuantan merupakan daerah paling baik liputan iaitu 97.10 peratus diikuti Temerloh (92.73 peratus) dan Bentong (91.14 peratus).

"Perancangan menambah baik liputan internet dilakukan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) termasuk membina 191 menara komunikasi baharu di Pahang, dengan 28 daripadanya telah siap tahun lalu, bagi meluaskan liputan 4G khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Sebanyak 898 stesen pemancar akan dinaik taraf daripada 3G kepada 4G manakala 116,773 premis akan disambungkan dengan rangkaian gentian optik.

"Jika berjalan lancar, liputan internet akan lebih baik pada pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Kolej Komuniti Temerloh di sini, pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang Zahari Ismail dan Pengarah Jabatan Penerangan negeri Mohd Salmun Mustafa.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata terdapat keperluan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana akta tersebut yang digubal 23 tahun dahulu sudah ketinggalan dengan perkembangan teknologi masa kini.

Ini menimbulkan cabaran dalam siasatan perkara seperti penyebaran berita palsu di media sosial, yang sejak kebelakangan ini turut melibatkan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik kenyataan yang boleh menimbulkan keraguan terhadap vaksin COVID-19.

"Kami sedang meminda akta tersebut termasuk bagaimana hendak mempercepatkan siasatan. Tahun 1998 kita tidak membayangkan akan wujud aplikasi seperti WhatsApp dan orang boleh menyebar berita palsu secepat sekarang.

"Polis juga berdepan masalah sama kerana perkembangan teknologi menyebabkan perkara lazim yang kita boleh lakukan 10 atau 20 tahun lalu sudah diatasi perkembangan teknologi dan mereka yang menyebarkan berita palsu ini juga agak cekap menggunakan teknologi," katanya.

Saifuddin menambah dalam masa sama, KKMM akan meneruskan usaha menasihati rakyat untuk tidak mudah mempercayai atau turut menjadi pihak yang membantu menyebarkan berita palsu di media sosial.

-- BERNAMA