Empat pemandu disyaki mabuk ditahan di dua lokasi, manakala 33 saman dikeluarkan dalam Op Mabuk dan Samseng Jalanan yang dijalankan selama dua hari di Kota Kinabalu.

Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40-an.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi tersebut, sejumlah 142 individu dan 125 buah kenderaan diperiksa.

"Hasil daripada pemeriksaan lanjut, keempat-empat individu terbabit disyaki positif melebihi paras alkohol dalam darah dan kini dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam operasi selama dua hari itu juga, kita telah mengeluarkan sebanyak 33 saman atas pelbagai kesalahan di mana kesalahan yang tertinggi adalah tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 34 pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Trafik Kota Kinabalu terlibat dalam Op Mabuk dan Samseng Jalanan itu.

"Polis meminta orang ramai tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan jalan raya terutamanya memandu dengan keadaan dibawah pengaruh alkohol atau memandu dengan tiada lesen.

"Sehubungan itu, melalui Op Mabuk dan Samseng Jalanan yang kita jalankan dari semasa ke semasa ini, polis sentiasa akan menjalan operasi sebagai usaha mengelakkan insiden kemalangan yang disebabkan kecuaian pengguna jalan raya," katanya.