NATIONAL
Empat individu jadi mangsa penipuan dalam talian, rugi lebih RM1.7 juta

Yahaya berkata mangsa telah membuat sebanyak 61 transaksi ke dalam 14 akaun berbeza dan mangsa hanya menerima sekali sahaja komisen berjumlah RM800 untuk kerja yang dilakukan. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Sebanyak empat individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan kes berasingan dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM1.7 juta.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata seorang bekas peniaga perabot kayu berusia 62 tahun mengalami kerugian hingga RM1.2 juta selepas menyertai perniagaan tidak wujud oleh seorang broker rumah dari Singapura, sejak Januari tahun ini.
"Suspek ada membuat satu perniagaan dalam talian daripada platfom https://oufaner.com/seller/ berasal dari England yang menawarkan mangsa untuk menyertai kerja dalam talian, dan mangsa akan mendapat komisen 13 hingga 18 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada 20 Feb lepas, mangsa telah menerima mesej menerusi aplikasi Messenger daripada individu lain yang dikenali sebagai Lee Mei Lee, dan mereka kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp bagi mengaktifkan akaun.Yahaya berkata mangsa telah membuat sebanyak 61 transaksi ke dalam 14 akaun berbeza dan mangsa hanya menerima sekali sahaja komisen berjumlah RM800 untuk kerja yang dilakukan.
Kes kedua pula katanya, melibatkan seorang akauntan wanita berusia 57 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM296,438 selepas ditipu oleh individu dikenali sebagai Alvin, yang mahu meminjam wang daripada mangsa.
"Suspek memberitahu bahawa isterinya kini berada di hospital untuk menjalani pembedahan ... mangsa telah memasukkan wang sebanyak lapan kali transaksi berjumlah RM42,387. Suspek juga kerap memberikan pelbagai alasan untuk menyelesaikan masalah beliau dan mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM225,050 menerusi 12 akaun berbeza," katanya.
Selain itu, pada 26 Feb, pihaknya turut menerima laporan daripada seorang penyelia syarikat berusia 28 tahun kerugian RM103,920 selepas diperdaya wanita yang dikenali melalui aplikasi Tan-Tan, yang mempunyai masalah kewangan termasuk bayaran hutang, pinjaman kereta serta masalah keluarga.
Bersimpati terhadap wanita terbabit, mangsa telah membuat sebanyak 18 transaksi kewangan ke lapan akaun bank berbeza melalui pemindahan secara dalam talian dan deposit tunai.
Sementara itu, Yahaya berkata seorang jurujual lelaki berusia 43 tahun kerugian RM139,200 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
Mangsa kemudian dihubungi oleh individu yang tak dikenali dan diminta memuat turun dua aplikasi pelaburan "PGWAPRO" dan "FALCONH PE", selain mangsa juga telah membuat sembilan transaksi ke beberapa akaun syarikat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami