Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan empat Ketua Setiausaha (KSU) kementerian secara serentak, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata, dua daripada mereka Datuk Seri Dr Zaini Ujang dilantik sebagai KSU untuk Kementerian Alam Sekitar (KSA), manakala Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff sebagai KSU untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut beliau, pelantikan kedua-dua pegawai kanan berkenaan adalah selaras dengan KSA dan KPT diwujudkan sebagai kementerian baharu susulan pertukaran kerajaan.

Mohd Zuki berkata, Zaini mula menyertai sektor awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak 2011, dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan, perancangan, penyelidikan dan alam sekitar khususnya teknologi air.

Mazlan pula, jelas beliau, mula berada dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun, dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pemodenan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dilantik sebagai KSU untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Datuk Seri Mohammad Mentek dilantik sebagai KSU untuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau berkata, Zainal Abidin telah berada dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, penyelidikan dan penguatkuasaan

Mohammad pula, kata Mohd Zuki, mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun, dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia, penyelidikan dan dasar kerajaan.