TEMERLOH: Empat lelaki ditahan susulan pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di medan selera kawasan di Mentakab pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 54 tahun ditahan selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan tersebut adalah disebabkan salah seorang suspek yang dengan sengaja telah menendang kaki suspek lain sehingga tercetusnya pertengkaran seterusnya terjadi pergaduhan.

"Kira-kira jam 8.25 malam, orang awam memaklumkan terdapat kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di medan selera kawasan Mentakab.

"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari ibu pejabat ini telah bergegas ke tempat kejadian dan berjaya membuat tangkapan ke atas suspek iaitu empat lelaki.

"Kesemua suspek yang ditangkap turut mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, ekoran laporan polis tersebut satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Keempat-empat suspek yang ditangkap telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

"Kita ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga diri, emosi, tidak mencetuskan sebarang provokasi bagi mengelakkan berlakunya kekecohan dan pergaduhan yang boleh mengganggu ketenteraman awam," tambah Mohd Azhar.

Dalam pada itu, beliau meminta sekiranya terdapat maklumat berkenaan kejadian boleh disalurkan kepada kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Siti Nani Sharif di talian 019-570910 atau kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian 09- 2716222 atau mana-mana balai-balai polis berdekatan. - Sinar Harian