Skip to main content

Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Selangor, Perak menurun pagi ini

Di Selangor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkurang kepada 978 orang daripada 303 keluarga. - Foto fail/BERNAMA
Di Selangor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkurang kepada 978 orang daripada 303 keluarga. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Selangor dan Perak menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri mencatatkan penurunan pagi ini berbanding semalam.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkurang kepada 978 orang daripada 303 keluarga berbanding 1,430 orang daripada 404 keluarga petang semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuala Langat merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 775 orang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang (17) dan PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu (16).

Advertisement

Di Kuala Selangor pula, PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan menempatkan 108 mangsa dan PPS Sekolah Agama Batu 8 Ijok (41), manakala di Sepang seramai 21 mangsa berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Klang susulan hujan lebat awal pagi tadi sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di laluan utama ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.

Advertisement

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di tiga PPS di tiga daerah di negeri itu berkurang sedikit kepada 204 orang daripada 60 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 209 orang daripada 62 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di daerah Manjung kekal 127 orang daripada 37 keluarga.

Mangsa di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak pula berkurang kepada 69 orang daripada 20 keluarga, manakala di Larut, Matang dan Selama menurun kepada lapan orang daripada tiga keluarga di PPS SK Batu Hampar.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian berada pada tahap bahaya dengan bacaan 9.23 meter (m) berbanding paras normal 8.68m, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir pada sebelah petang di semua daerah di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement