Empat lelaki berumur antara 30 hingga 40 tahun ditahan oleh Pasukan Khas Jabatan Perhutanan (Protect) Tawau di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara, 60 kilometer dari bandar Tawau pada Rabu.

Dalam kejadian kira kira jam 12 tengah malam, suspek terdiri dari dua warga tempatan dan selebihnya warga asing ditahan ketika sedang menaiki kenderaan pacuan empat roda di kawasan hutan simpan berkenaan.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata melihat pergerakan suspek mencurigakan, pihaknya terus menahan dan memeriksa kenderaan berkenaan.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat empat lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan.

Pemeriksaan lanjut menemui seekor rusa yang telah mati di belakang bonet kenderaan, dipercayai ditembak oleh pemburu berkenaan.

Turut ditemui ialah selaras senapang buatan sendiri jenis bekakuk dan beberapa butir peluru.

Keempat-empat suspek berkenaan ditahan bersama barang rampasan termasuk seekor rusa mati, selaras senapang dan beberapa butir peluru serta kenderaan digunakan suspek dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997 dan Akta Senjata Api 1960.