NATIONAL
Empat lelaki Yaman terselamat, kereta jatuh gaung

Kereta yang dinaiki empat lelaki warganegara Yaman terbabas jatuh gaung di Batu 23, Jalan Pahang dekat Tapah pada Selasa. - Foto JBPM Perak
TAPAH: Empat lelaki warganegara Yaman terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam lebih empat meter di Batu 23, Jalan Pahang, di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah pada jam 10 malam.
Menurut beliau, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Tapah dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 39 kilometer.
"Setibanya pasukan di lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah kereta jenis Honda City telah terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih empat meter."Pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa mengalami patah pada tangannya, manakala tiga yang lain tidak mengalami kecederaan," katanya di sini pada Rabu.
Sabarodzi berkata, kerja-kerja menyelamat segera dijalankan bagi mengeluarkan mangsa.
"Anggota menggunakan pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang cedera dan memberikan rawatan awal sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
"Pemantauan di lokasi dilakukan bagi memastikan keadaan selamat dan operasi tamat pada jam 11.33 malam," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami