Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memohon empat negeri yang masih tidak mempunyai taman laut mewartakan taman laut masing-masing bagi memastikan sumber ikan dan laut negara terus dipertahankan dan terpelihara daripada kepupusan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata empat negeri berkenaan adalah Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, pewartaan empat lagi taman laut itu juga bagi mencapai sasaran 10 peratus pewartaan perairan negara sebagai taman laut menjelang tahun 2020.

"Kini kita hanya capai empat peratus kawasan perairan negara yang diwartakan sebagai taman laut.

"Pewartaan taman laut ini adalah satu langkah jangka masa panjang kita dalam mempertahankan sumber laut kerana kawasan taman laut merupakan kawasan yang paling banyak ikan dan sumber laut membiak.

"Kita masih kekurangan kawasan memelihara sumber ikan sedangkan kita mempunyai banyak pulau-pulau yang boleh diwartakan sebagai taman laut yang boleh dijadikan tempat pembiakan sumber laut, ini yang perlu difahami oleh masyarakat," katanya.

Wan Junaidi berkata demikian kepada pemberita selepas Program Restorasi Karang oleh Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) di Taman Laut Pulau Redang, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pengarah JTLM, Datuk Sukarno Wagiman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar), Datuk Sr Dr Azimuddin Bahari.

Pada program itu juga JTLM menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas berjaya menanam 8,300 fragmen batu karang secara serentak di enam taman laut di seluruh negara, hari ini.

Wan Junaidi menerima pengiktirafan tersebut daripada wakil MBOR, Lee Pooi Leng.

Beliau dalam pada itu mengambil maklum bahawa terdapat negeri yang tidak mewartakan perairan mereka sebagai taman laut kerana masalah perairan yang kecil dan ingin memberi laluan kepada golongan nelayan menangkap ikan.

"Kami maklum jika kawasan perairan itu diwartakan sebagai taman laut nelayan tidak lagi dibenarkan menangkap ikan, tetapi itu hanya bagi aktiviti menangkap ikan secara komersial.

"Bagi nelayan yang menangkap ikan secara tradisional ia masih dibenarkan tetapi masih tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak JTLM," katanya.

-- BERNAMA