MELAKA: Tiga pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan mengandungi maklumat palsu kepada ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bagi memperdayakan agensi itu, dua tahun lepas.
Ketiga-tiga pengarah syarikat berkenaan dituduh memberikan dua ejen Perkeso dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat yang mengandungi maklumat palsu, dilampirkan dalam permohonan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Perkeso.
Henry Ratnaike, 45, yang merupakan Pengarah Syarikat Alpha Buildcon berdepan empat pertuduhan melakukan kesalahan tersebut di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Mei 2024.
Koh Kai Loon, 40, yang merupakan Pengarah Syarikat PK Tan Auto and Car Repair pula berdepan satu pertuduhan melakukan kesalahan itu di Taman Kasawari Utama, Durian Tunggal dalam daerah negeri Melaka pada 14 Jun 2024.
Pengarah Syarikat Prima Kerjaya Trading Gan Pay Kiat, 32, berdepan dua pertuduhan melakukan kesalahan yang sama di Jalan KPKs 3, Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar pada 27 dan 31 Mei 2024.
Ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seorang lagi pengarah syarikat Alpha Buildcon Ling Yate May, 58, pula berdepan empat pertuduhan bersubahat dengan Henry, memberi dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang dipercayai mengandungi pernyataan palsu kepada ejen Perkeso, bagi memperdaya agensi itu.
Ling dituduh melakukan semua kesalahan tersebut di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam pada 10 Mei 2024 dan didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 (Akta 694), dibaca bersama Seksyen 18 Akta yang sama, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu, jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa'ari menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh, selain syarat tambahan iaitu pasport kesemua mereka diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, sehingga kes selesai.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan jaminan RM15,000 ke atas Henry, Koh (RM9,000), Gan (RM13,000) dan Ling (RM15,000) serta membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwa dan menetapkan 14 Sept sebagai tarikh sebutan semula.
Henry diwakili peguam FB Ng, manakala tiga yang lain tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA