Empat pusat pemindahan banjir di Manjung ditutup

Sebanyak empat pusat pemindahan mangsa banjir ditutup sepenuhnya di daerah Manjung berkuat kuasa pada Sabtu.

Empat pusat pemindahan di Manjung ditutup. | Astro Awani
Sebanyak empat pusat pemindahan mangsa banjir ditutup sepenuhnya di daerah Manjung berkuat kuasa pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah, Datuk Mohamad Fariz Hanip berkata keempat-empat pusat pemindahan itu ditutup berikutan kesemua mangsa telah kembali ke kediaman masing-masing.

Jelasnya, antara pusat pemindahan banjir yang ditutup di daerah Manjung adalah Dewan Orang Ramai Batu 8, Sekolah Kebangsaan (SK) Muhamad Saman, SK Dato Ishak serta SK Nakhoda Mohamad Taib.

"Mangsa banjir di daerah ini juga berkurangan daripada 858 mangsa kepada 337 mangsa," katanya.

"Jawatankuasa bencana Manjung bagaimanapun akan terus melaksanakan pemantauan berkala kerana masih terdapat mangsa ditempatkan di Sekolah Agama Tebuk Yan (168), SK Sungai Batu, Pantai Remis (433)," katanya kepada Astro Awani ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) melaporkan bahawa terdapat dua lagi pusat pemindahan masing-masing di dua daerah iaitu Muallim dan Larut, Matang dan Selama.

Katanya, buat masa ini Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Muda menempatkan tujuh orang sekeluarga manakala Kampung Jawa Sungai Nyior Trong pula menempatkan seramai 13 orang dari tiga keluarga.

Sehingga pukul 11 pagi, kesemua empat pusat pemindahan di tiga daerah terjejas menempatkan seramai 521 orang berbanding 858 orang pada awal pagi Sabtu.