BUTTERWORTH: Sepuluh penghuni termasuk lapan warga emas berjaya menyelamatkan diri sebelum empat rumah teres didiami mereka di Taman Senangin, Perai, di sini, musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, anggota bersama jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.46 tengah malam.
“Pihak bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kediaman lain pada 1.23 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.48 pagi, sebelum pihak bomba meneruskan kerja pemeriksaan dan pembersihan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran atau bahaya lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat 10 penghuni iaitu tiga lelaki dan tujuh wanita yang kesemua mereka selamat dan berjaya keluar sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO).
Beliau berkata, anggaran peratusan kemusnahan kesemua rumah antara 30 hingga 80 peratus dan operasi pemadaman melibatkan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, BBP Butterworth, BBP Bandar Perda serta BBP Kepala Batas, dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Chain Ferry.
-- BERNAMA