PENAMPANG: Empat sekeluarga rentung, dipercayai terperangkap dalam rumah yang terbakar, dalam satu kejadian yang berlaku pada kira-kira 2.30 pagi tadi.

Mangsa terkorban dalam kejadian di Taman Hungab, Jalan Nosob, Penampang itu ialah pasangan suami isteri, Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka Brandon Wong, 18 dan Eric Wong, 15 tahun.

Rumah berkeluasan 55 meter persegi itu musnah terbakar 100 peratus, sementara dua kenderaan, Proton Saga dan Perodua Alza turut musnah 30 peratus akibat terkena bahang kebakaran.

Menurut Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba, Hamsa Isnurdini, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi.

Kebakaran | Empat sekeluarga rentung rumah terbakar di Penampang




Sepasukan 11 anggota dan pegawai telah dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, keadaan api masih marak di dalam rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan.

“Pasukan Bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya sambil menambah api hanya berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.10 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan bomba menemui empat mangsa rentung di dalam rumah berkenaan.

“Empat mangsa yang terbabit dalam insiden kebakaran ini adalah suami isteri dan dua anak lelaki pasangan berkenaan.

“Tiga mangsa lelaki terperangkap di dalam bilik di tingkat atas manakala seorang lagi iaitu mangsa wanita ditemui di dalam bilik air," katanya lagi.

Hamsa berkata, semua mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM.