Seorang kanak-kanak dua tahun menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapanya antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan tragis melibatkan sebuah kenderaan dan lori treler di Kilometer 59, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, di sini pada petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta Proton Saga BLM, Mohd Nizam Suhaidin, 34; isterinya, Nurhafizah Ismail, 34 dan anak lelaki mereka Mohd Afiq Mohd Nizam, 6 tahun.

Selain ketiga-tiga mangsa yang menaiki Proton Saga BLM, pemandu lori treler yang membawa muatan balak, Redzuan Abd Ghani, 59 turut meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata, anak pasangan itu, Nur Hanania Maisara, 2 tahun mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Gerik.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori treler yang datang dari arah Jeli ke Gerik telah hilang kawalan ketika berada di laluan selekoh, dan terbabas sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan membawa empat beranak itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Menurut Ismail, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lori yang membawa muatan balak remuk akibat kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran Tasik Banding, Gerik di sini petang ini. - Foto ihsan pembaca.