Skip to main content
Advertisement

Malaysia

EMR bawah inisiatif PERSADA beri impak positif terhadap masa menunggu pesakit - Fahmi

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yakin barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI kekal profesional dan komited mempertahankan kestabilan politik negara, selain akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab sehingga akhir penggal pentadbiran.
Fahmi berkata projek yang dilaksanakan di negeri itu sejak empat bulan lepas menunjukkan, lebih 86 peratus pesakit dapat bertemu dengan doktor dalam tempoh kurang 60 minit manakala 62.8 peratus pesakit boleh berbuat demikian kurang 30 minit. - Gambar fail
Advertisement

PADANG BESAR: Pelaksanaan projek rintis sistem pengurusan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di fasiliti kesihatan di Perlis, memberikan impak positif dari segi masa menunggu pesakit.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata projek yang dilaksanakan di negeri itu sejak empat bulan lepas menunjukkan, lebih 86 peratus pesakit dapat bertemu dengan doktor dalam tempoh kurang 60 minit manakala 62.8 peratus pesakit boleh berbuat demikian kurang 30 minit.

“Ia berjaya memanfaatkan lebih 200,000 pesakit di Perlis. Saya juga menerima beberapa maklum balas tentang sistem dan menyampaikan beberapa cadangan, untuk memastikan sistem ini selamat digunakan, mudah untuk para pekerja Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau projek PERSADA di Klinik Kesihatan Padang Besar di sini hari ini, yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Kesihatan Perlis Dr Ghazali Chik.

Fahmi berkata menerusi projek itu, doktor tidak perlu lagi menunggu kad sejarah kesihatan pesakit secara manual, dengan kesemua maklumat berkaitan telah tersedia dalam bentuk yang lebih mudah untuk semakan doktor menerusi sistem berkenaan.

“Saya lihat sendiri memang doktor-doktor memaklumkan ini memudahkan kerja mereka dan mengurangkan masa untuk menunggu rekod datang kepada mereka, disimpan dalam cloud based data, yang lebih selamat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Fahmi berkata kementeriannya berhasrat untuk memperluas penggunaan sistem itu untuk manfaat negeri lain, namun akan meneliti beberapa aspek terlebih dahulu termasuk kemudahan Internet, bagi memastikan sistem itu dapat digunakan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Saya lihat ia dapat dimanfaatkan di negeri lain, kita akan meneliti beberapa aspek, kerana isu dihadapi mungkin sesetengah negeri, ada klinik kesihatan Internet belum lagi pantas, saya dimaklumkan keperluan Internet untuk sistem ini sekurang-kurangnya 100mbps,” katanya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan melalui PERSADA, ketersambungan yang diperkukuh akan menyokong perkongsian maklumat kesihatan lebih lancar serta menjadi asas kepada pelaksanaan aspirasi “Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan”.

“Rekod kesihatan pesakit dapat menyokong kesinambungan rawatan apabila mendapatkan perkhidmatan di fasiliti atau lokasi yang berbeza, sekali gus mewujudkan pengalaman rawatan yang lebih lancar dan teratur, serta membantu mengurangkan tempoh menunggu,” menurut kenyataan MCMC.

Menurut kenyataan itu, kerjasama rentas kementerian antara Kementerian Komunikasi melalui MCMC dengan Kementerian Kesihatan (KKM), dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta ketersambungan digital dan teknologi yang lebih bersepadu.

Sementara itu, Fahmi berkata MCMC mengintegrasikan perkhidmatan telekesihatan melalui 17 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Perlis, yang membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan tertentu termasuk saringan kesihatan di pusat NADI, tanpa perlu ke klinik kesihatan.

“Kita akan memperlihatkan kerjasama lebih erat antara NADI di bawah MCMC dan klinik kesihatan serta klinik desa bukan sahaja di Perlis, tetapi seluruh negara untuk memudahkan pesakit mendapatkan rawatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement