MALAYSIA
Enam Ahli Parlimen masih ditakrifkan sebagai blok pembangkang - Speaker

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri masih dianggap sebagai wakil blok pembangkang kerana tiada pengesahan rasmi mengenai perubahan kedudukan mereka. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menjelaskan bahawa enam Ahli Parlimen yang juga bekas ahli Bersatu masih ditakrifkan sebagai wakil rakyat daripada blok pembangkang.
Ringkasan AI
- Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menegaskan bahawa enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri masih dianggap sebagai wakil blok pembangkang kerana tiada pengesahan rasmi mengenai perubahan kedudukan mereka.
- Johari menjelaskan bahawa kedudukan mereka tidak diubah kerana tiada surat rasmi menyatakan mereka keluar daripada pembangkang dan menyertai kerajaan, justeru mereka masih berhak bertanya soalan sebagai ahli pembangkang.
- Kekeliruan mengenai pengagihan soalan dalam sesi Dewan Rakyat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, namun Johari menegaskan keperluan berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen dalam sesi soal jawab dan PMQT.
"Tidak ada satu ayat pun yang ditulis kepada saya mereka ingin meninggalkan pembangkang untuk sertai kerajaan, jadi untuk itu bagi saya mereka masih lagi blok (pembangkang) dan sebab itu saya tak pindah pun (kedudukan) mereka, bagi saya mereka masih lagi ditakrifkan sebagai orang yang berhak bertanya dalam blok (pembangkang).
"Selagi dia (enam Ahli Parlimen) tidak ada hitam putih mengatakan saya sekarang keluar (pembangkang) dan saya nak sertai (kerajaan), jadi untuk itu saya juga berlaku adil kepada mereka sebab mereka juga mempunyai hak sebagai Ahli Parlimen untuk bertanya soalan," katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mempersoalkan pengagihan soalan lisan harian dan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) yang didakwanya tidak seimbang dan cenderung kepada pihak kerajaan.
Takiyuddin berkata daripada 10 soalan yang dijawab oleh kerajaan pada hari ini, enam ditanya oleh Ahli Parlimen kerajaan, tiga ditanya oleh Ahli Parlimen pembangkang, manakala satu lagi diberikan kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang yang menyokong kerajaan.
"Malah, semalam sepatutnya PMQT ataupun MQT kita ada tiga soalan (tetapi) semalam soalan yang naik satu kerajaan, satu juga daripada (Ahli Parlimen) Kuala Kangsar dan pembangkang tak ada soalan," katanya.
Mengulas lanjut, Johari berkata beliau perlu berlaku adil dalam memastikan setiap Ahli Parlimen mendapat peluang untuk bertanya soalan kepada pihak kerajaan pada sesi soal jawab mahupun MQT.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Pada 12 Jun 2024, Ahli Parlimen berkenaan diberikan notis gugur keahlian apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami