Berdasarkan sejarah, negara pernah beberapa kali melalui keadaan darurat.

Antara yang paling diingati tentunya darurat pada Mei 1969 berikutan tragedi rusuhan kaum yang mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969.

Berikut adalah senarai darurat yang pernah dilalui negara.

Darurat Tanah Melayu

Darurat Tanah Melayu merupakan darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan British di Tanah Melayu dari tahun 1948 hingga tahun 1960.

Semuanya bermula selepas pendudukan Jepun 1942-1945.

Selepas tentera Jepun menyerah kalah kepada British pada 15 Ogos 1945, anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil kesempatan keluar dari hutan dan bertindak ganas.

Ramai orang telah dibunuh dengan kejam oleh mereka terutama dalam tempoh seminggu 'kekosongan kuasa' disebabkan pasukan tentera Brisih belum tiba di Tanah Melayu.

Pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak pada tahun 1948 telah menyebabkan kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu.

Darurat konfrontasi

Tunku Abdul Rahman pernah mengisytiharkan darurat selepas pencerobohan tentera Indonesia pada September 1964.

Parlimen kemudiannya meluluskan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964 yang antara lain memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal peraturan-peraturan darurat.

Darurat Sarawak

Sarawak pernah diletakkan dalam keadaan darurat pada 14 September 1966. Ini susulan 21 daripada 42 Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak mengisytiharkan mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Tragedi berdarah 13 Mei 1969 membawa kepada darurat yang diisytiharkan pada 16 Mei 1969.

Darurat rusuhan kaum

Tragedi berdarah 13 Mei 1969 membawa kepada darurat yang diisytiharkan pada 16 Mei 1969. Perlembagaan Persekutuan telah digantung dan negara diperintah secara terus oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah undang-undang tentera.

Darurat Kelantan

Pada 8 November 1977, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim, telah mengisytiharkan darurat di Kelantan susulan krisis politik di negeri itu.

Parlimen meluluskan Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang memberikan kuasa eksekutif negeri berkenaan kepada pengarah kerajaan yang dilantik oleh Perdana Menteri, manakala sultan, yang juga Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, memegang kuasa perundangan.

Darurat jerebu

Darurat jerebu pernah diisytiharkan pada 1997, 2005 dan 2013. Ia hanya membabitkan beberapa kawasan di Sarawak, Selangor dan Johor susulan paras pencemaran udara yang sangat teruk ketika itu.