Skip to main content

Malaysia

Enam lelaki didakwa culik ahli perniagaan minta tebusan RM8 juta

https://www.sinarharian.com.my/article/789550/berita/semasa/enam-lelaki-didakwa-culik-ahli-perniagaan-minta-tebusan-rm8-juta
Enam tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin. - Gambar/ Sinar Harian
Advertisement

PETALING JAYA: Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan dengan meminta wang tebusan berjumlah RM8 juta, dua minggu lepas.

Pemilik kedai cuci kereta, A.Ravichandran, 45, R.Elanggovan, 43 dan M.Jeyaraj, 43, peniaga minyak terpakai, Moses De Bretto John Patrick, 40, Ziyauddin, 33, dan pemandu e-hailing, Muhammad Afiq Safine, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama tujuh lagi yang masih bebas menculik seorang lelaki berusia 44 tahun dengan niat untuk meminta wang tebusan berjumlah RM8 juta, di sebuah restoran di Dataran Sunway di sini, pada 5.15 petang, 16 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

"Kes ini melibatkan amaun yang besar iaitu RM8 juta selain memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun," kata Loqman Hakim.

Peguam T. Daneish dan S.Vinesh yang mewakili Moses memohon mahkamah membenarkan anak guam diikat jamin memandangkan tertuduh menanggung isteri dan anak.

Peguam Kailash Sharma mewakili Ravichandran, Elanggovan dan Jeyaraj juga memohon agar kesemua anak guamnya dibenarkan ikat jamin kerana menanggung keluarga manakala Ziyauddin dan Muhammad Afiq yang tidak diwakili peguam juga memohon perkara sama.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Sept ini untuk sebutan kes.

Pada 22 Julai lepas, media melaporkan, lelaki berusia 44 tahun yang diselamatkan dalam kes penculikan telah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selepas siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam sindiket dadah.

Sehari sebelumnya, polis turut menahan dua lagi individu di beberapa lokasi di Selangor, termasuk seorang bekas anggota polis yang dipecat pada 2023 berusia lingkungan 30-an, kerana disyaki terlibat dalam kes culik itu.

Pada 19 Julai lepas, polis menyelamatkan mangsa dan menahan enam individu termasuk seorang wanita, berusia 30 hingga 46 tahun, berhubung kes tersebut dalam operasi khas di Selangor.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement